ARKIB : 19/10/2008
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
HARUMAN berjenama kini bukan sahaja diminati wanita, malah turut menjadi kelengkapan ‘wajib’ si jejaka untuk mereka tampil lebih hebat dan berkeyakinan.
Meneruskan pencalonan Anugerah Haruman Sa Sa 2008, kategori Haruman Lelaki Terbaik menggariskan empat jenama hebat terdiri daripada Pure oleh BOSS, CK In 2U Him (Calvin Klein), London (Dunhill) dan Polo Explorer (Ralph Lauren).
Pure oleh BOSS diinspirasi daripada idea lelaki bersatu dengan kuasa air. Ia sederhana namun sofistikated, segar lagi menyeronokkan. Dengan haruman bertenaga, Pure mengungkap rasa sensual dan emosi seperti kuasa air yang suci dan sukar dihalang. Jejaka Pure sangat mementingkan stail, bercita-cita tinggi, kompetitif dan berjaya. Dengan kesegaran semula jadi akuatik, nota utama diserlahkan oleh air pokok ara, dengan kombinasi sitrus Mediterranean, menyerlahkan kesegaran yang menyeronokkan. Juga ditambah haruman kayu massoia, untuk menyerlahkan karakter maskulin.
Segar tapi hangat, itulah asas CK In 2U Him oleh Calvin Klein. Perjalanannya mengasyikkan dan kemuncaknya diberi sentuhan hangat. Gabungan kayu-kayan oriental terdiri daripada lime gin fizz, dedaun limau bali dan tangelo. Juga diadun bersama koko, pimento dan daun shiso serta diakhiri dengan kesegaran kesturi, kayu sedar putih dan vetiver yang hangat lagi mengasyikkan.
Konsep London oleh Dunhill adalah gabungan bersama kemuncak kualiti, karakteristik dan mengetengahkan jati diri lelaki moden dan keadaan sekelilingnya. Jejaka London mengekalkan tradisi, kesopanan dan pekerti dipadankan dengan nilai kontemporari dan budaya kosmopolitan. Dengan interpretasi individu gaya British elegan, London menggambarkan kota yang diinsiprasikannya. Menggabungkan haruman segar epal dan mawar, diselitkan dengan rempah dan kayu-kayan untuk membangkitkan cita rasa maskulin. London adalah haruman buat si jejaka yang peka pada persekitarannya, terjelma pada personaliti dan di bandar di mana dia tinggal.
Polo Explorer oleh Ralph Lauren pula dihasilkan daripada kayu ambar segar dan diinspirasi oleh perjalanan untuk meneroka. Direka buat sang pencinta cabaran dengan ilham mengelilingi dunia, harumannya segar dan diberi sentuhan maskulin serta rugged. Polo Explorer mengandungi elemen segar mandarin Afrika Selatan dan bergamot Sicily, dengan campuran mahogany Cuba dan kayu sandal hutan Australia.
Menyedari keinginan pasangan yang mahukan keserasian dalam penampilan mereka, jenama minyak wangi terkemuka kini mula akur dengan kehendak itu. Selain sebagai pemakaian harian, set haruman berpasangan ini amat sesuai dijadikan hadiah hantaran untuk mereka yang akan melangsungkan perkahwinan.
Bagi kategori Haruman Pasangan Terbaik, pencalonan terdiri daripada CK In 2U Her/ CK In 2U Him oleh Calvin Klein, Armani Code For Men/ Armani Code Pour Femme (Giorgio Armani) dan XX/ XY (Hugo).
CK In 2U Her dan CK In 2U Him dibotolkan cukup ringkas namun penuh dengan kejutan. Logo botol si jejaka menegak ke atas manakala untuk wanita ke bawah, seakan konsep Yin dan Yang. Kedua-dua haruman dicipta segar, hangat dan seksi. Untuk wanita haruman berasaskan tarikan, kepuasan dan seri yang berpanjangan. Manakala si jejaka, menyerlah dari semua aspek.
Armani Code For Men dan Armani Code Pour Femme pula memikat, seksi, misteri dan stylish. Haruman lelaki adalah gabungan lembut lemon segar dan bergamot diselitkan kesegaran pokok oren. Hangat dengan kayu guaiac dan tonka bean. Sesuai untuk pemakaian siang hari dan majlis tertentu. Manakala Code Pour Femme pula adalah haruman tarikan untuk wanita dengan unsur segar, seksi dan penuh ciri feminin. Ia gabungan oren, halia, pir, melur, lavender, vanila dan kayu bernilai.
Dan akhir sekali, Hugo XX dan Hugo XY adalah padanan provokatif di mana keharmonian total bukan lagi asas dalam sesuatu perhubungan moden. Haruman ini direka selari, serta mempunyai kekuatan dan persembahan yang sama. Pun begitu, kedua-duanya sangat berbeza dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Sebagai panduan untuk pemakaian haruman yang berpanjangan, sembur atau sapukan pada titik nadi seperti pergelangan tangan, pelipat siku, leher, belakang telinga dan dada. Jangan sembur haruman pada rambut! Untuk menyimpan haruman agar tahan lama, jauhkan ia daripada cahaya dan haba. Simpan di dalam kotak gelap atau laci bertutup adalah langkah yang paling baik.
Yang mana satu haruman terbaik bagi lelaki dan pasangan, semuanya terserah kepada anda. Dengan menyertai pengundian haruman ini, peserta akan menerima baucar RM20 bagi membeli haruman yang dicalonkan.
Sebagai sumbangan pihak Sa Sa kepada masyarakat, sebanyak RM1 dari setiap pembelian haruman antara 6 Oktober hingga 18 November akan didermakan kepada Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara.
Sumber : Utusan Malaysia Online
-
No comments:
Post a Comment