Cinta Dynas pada wangian berputik tatkala menerima pemberian daripada seseorang peminat rahsia ketika usianya 14 tahun. Selepas sedekad, cintanya tetap mekar.
DENGAN hanya satu semburan, mampu menceriakan mood yang suram, menghilangkan stres dan tekanan yang dihadapi.
Malah, haruman juga boleh menjadi tarikan pertama terhadap anda dan perkara yang paling diingati.
Bagi model, pelakon dan pengacara, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dynas, 25 'cintanya' terhadap minyak wangi mekar sejak di bangku sekolah menengah.
"Ketika itu saya berusia 14 tahun dan mendapat sebotol minyak wangi, Cool Water Davidoff daripada seorang peminat rahsia.
"Itulah minyak wangi pertama yang saya terima." "Seperti yang kita tahu, harga sebotol minyak wangi bukan murah, sebab itu saya teringat hingga kini," kata Dynas ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Hadiah pertama itu telah memberikan impak yang besar dalam kehidupannya.
"Mula-mula saya ingat hanya golongan dewasa yang dibenarkan memakai minyak wangi.
"Tetapi masa saya menerima botol pertama itu, barulah saya sedar bahawa terdapat wangian yang boleh dipakai oleh mereka yang lebih muda," kata wanita tinggi lampai ini lagi.
Dynas memberitahu, minatnya terhadap minyak wangi turut dipengaruhi oleh rakan-rakan rapatnya.
"Adakalanya kami akan menghadiahkan minyak wangi kepada rakan-rakan sempena hari lahir mereka. Minyak wangi merupakan satu hadiah yang istimewa."
Dynas yang merupakan Duta Pesta dan Anugerah Wangian Sasa 2008 mengakui dirinya sebagai 'hantu' minyak wangi dengan kepelbagaian koleksi yang telah dikumpul sejak bertahun-tahun lamanya.
Dynas berkata, menjadi duta kepada produk barangan yang diminatinya sejak remaja merupakan satu penghargaan.
"Pesta dan anugerah ini memberi peluang kepada pengguna memilih minyak wangi yang dibahagikan kepada beberapa kategori.
"Di sini kita dapat melihat pasaran wangian dipengaruhi bukan sahaja daripada faktor haruman tetapi juga reka bentuk dan pakej, haruman lelaki dan wanita yang paling digemari ramai dan yang menjadi pilihan pasangan serta selebriti."
Beliau mengakui, terdapat puluhan botol minyak wangi pelbagai jenama tersusun rapi di atas meja soleknya.
Sejak menerima wangian pertama, sehingga kini, dia tidak pernah gagal membeli minyak wangi terbaru di pasaran.
"Setiap kali ada jualan murah atau apabila hampir dengan sambutan perayaan saya akan membeli haruman-haruman ini.
"Saya amat mudah dipengaruhi dengan bungkusan yang dihias indah terutama apabila ia mempunyai warna dan botol yang menarik," kata Dynas.
Dynas mengakui akan membeli wangian baru sungguh pun terdapat haruman di rumah yang masih belum digunakan.
Selain hobi, Dynas juga akan membeli minyak wangi untuk menggembirakan hatinya atau apabila mendapat berita buruk.
Di rumah pakai minyak wangi
Apakah faktor yang menyebabkan Dynas begitu menggemari minyak wangi?
"Minyak wangi mampu mewakili karakter dan personaliti setiap individu yang memakainya.
"Bagi saya, memakai minyak wangi adalah rutin yang wajib. Ia seperti memakai deodoran. Tanpanya, keadaan diri umpama tidak lengkap, keyakinan diri saya akan hilang."
Kata Dynas, badan yang harum juga memudahkan orang ramai mendekati diri seseorang.
"Terutamanya bagi seseorang selebriti atau mereka yang menjadi tumpuan, kita tidak mahu orang kata kita mempunyai masalah bau badan pula. Oleh yang demikian, adalah penting untuk memilih haruman yang betul-betul sesuai."
Wanita setinggi 170 sentimeter ini berkata, beliau akan memakai wangian walaupun berada di rumah.
Menggemari minyak wangi yang mempunyai haruman flora dengan ciri-ciri romantis dan manis, Dynas berkata, pilihannya itu memberikan perasaan paling sempurna melambangkan dirinya yang sebenar - bercita rasa muda.
"Sungguhpun telah berusia 25 tahun, namun perangai saya agak keanak-anakan. Itu yang menyebabkan saya sukakan haruman yang bagi sesetengah pihak sebagai 'tidak matang'.
"Saya tidak sukakan bauan yang terlalu eksotik atau menggoda dan sitrus. Bagi saya, bau flora adalah pilihan yang paling tepat."
Dalam pemilihan minyak wangi, Dynas tidak terburu-buru membeli sungguh pun tarikan utama tertumpu pada bentuk botol dan pembungkusan.
"Minyak wangi mempunyai reaksi yang berbeza bagi kulit setiap individu. Ia mungkin berbau enak kepada orang lain, tetapi tidak pada diri anda.
"Apabila saya ingin membeli suatu haruman, saya akan mencubanya terlebih dahulu selama setengah atau sejam. Apabila saya merasakan ia sesuai, barulah saya beli," katanya.
Apakah haruman kegemarannya?
"Daisy daripada Marc Jacob dan Gucci Rush daripada Gucci."
"Saya biasanya memakai haruman yang berbeza, bergantung pada acara yang dihadiri. Tetapi perkara terbaik pada Daisy ialah ia sesuai digunakan sama ada pada hari siang mahu pun malam.
"Satu lagi, baunya yang tahan lama."
Dynas menambah, Gucci Rush mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang berhampiran.
"Bau Gucci Rush tidak boleh dikesan serta-merta tetapi hanya selepas beberapa saat si pemakai melintas di hadapan anda.
"Disebabkan terlalu menyukainya, suami telah memberikan saya sebotol minyak wangi itu sebelum kami berkahwin," kata Dynas. Suaminya juga meminati botol minyak wangi.
Apakah bauan yang tidak dilupakan Dynas?
"Pastinya bau Boss Pure daripada Hugo Boss yang dipakai oleh suami. Beliau telah memakai bau itu sejak kami bertemu ketika saya mengacara Beat TV di Astro sehingga hari ini.
"Suami sangat cerewet dengan cologne yang dibeli, jika beliau sukakan satu bau, itulah yang akan dipakainya sepanjang masa," kata pemegang Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Dynas mempunyai tip kepada mereka yang ingin membeli minyak wangi.
"Jangan beli sesuatu hanya berdasarkan stail atau trend terbaru tetapi pada hakikatnya tidak sesuai dengan diri kita.
"Minyak wangi seharusnya menyerlahkan lagi personaliti kita, bukan menenggelamkannya. Pastikan anda mencubanya sebelum membeli."
Sumber : Ehoza
-
No comments:
Post a Comment