ARKIB : 02/11/2008
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
JIKA dahulu industri minyak wangi dimonopoli oleh pereka fesyen dan pengasas kosmetik, namun kini trendnya sedikit berubah. Nama-nama besar industri ini masih mengungguli pasaran, namun dalam masa yang sama diberi saingan sengit oleh jenama baru di bawah label selebriti atau bintang-bintang popular.
Pengaruh golongan ini sememangnya tidak boleh disangkal. Dengan kemilau dan kemasyhuran yang dimiliki tidak hairanlah jenama mereka turut mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Bagi Anugerah Haruman Sa Sa 2008, dua jenama tersenarai dalam kategori Haruman Selebriti Terbaik iaitu Midnight Fantasy oleh Britney Spears dan Deseo Forever oleh Jennifer Lopez.
Midnight Fantasy adalah haruman keempat himpunan jenama milik bintang pop, Britney Spears. Inspirasi kehidupan pemiliknya yang penuh kemilau dan menggoda, ia direka khas untuk wanita yang mempunyai daya penarik dan godaan tersendiri serta membuatkan anda sentiasa memerlukannya. Gabungan haruman buah-buahan mengungkap misteri keinginan dan tarikan, begitu juga dengan adunan bunga-bungaan dan ambar hitam, menghasilkan ciptaan Midnight Fantasy yang sukar dilupakan.
Deseo Forever pula sehangat empunya nama, Jennifer Lopez. Deseo bermaksud desire iaitu keinginan, harapan atau impian. Ia dihasilkan untuk memberi inspirasi dalam menggapai impian, agar si pemakai tidak pernah berhenti daripada berusaha memperoleh apa yang mereka inginkan. Ia campuran buah-buahan seperti epal, pic dan oren, diselang seli dengan haruman bunga-bungaan seperti magnolia dan mawar di samping kesturi, bergamot, patchouli dan pelbagai lagi. Kesegaran dan keharumannya bak taman semerbak di pagi tatkala musim panas.
Selain kategori Haruman Selebriti Terbaik, Anugerah Haruman Sa Sa 2008 turut menyenaraikan kategori Haruman Tahun 2008 yang mana pencalonannya terdiri daripada Pure oleh Boss, Diamond (Emporio Armani), Daisy (Marc Jacobs) dan Princess (Vera Wang).
Tentunya kategori ini menjanjikan saingan sengit memandangkan keempat-empat pencalonan mempunyai kekuatan tersendiri.
Pure oleh BOSS diinspirasi daripada idea lelaki bersatu dengan kuasa air. Ia sederhana namun sofistikated, segar lagi menyeronokkan. Dengan haruman bertenaga, Pure mengungkap rasa sensual dan emosi seperti kuasa air yang suci dan sukar dihalang. Jejaka Pure sangat mementingkan stail, bercita-cita tinggi, kompetitif dan berjaya. Dengan kesegaran semula jadi akuatik, nota utama diserlahkan oleh air pokok ara, dengan kombinasi sitrus Mediterranean, menyerlahkan kesegaran yang menyeronokkan. Juga di tambah haruman kayu massoia, untuk menyerlahkan karakter maskulin.
Permata pula adalah inspirasi haruman Diamond oleh Emporio Armani. Wanita Diamond menjalani kehidupannya seperti sesuatu acara yang sedang berlangsung. Dia tidak pernah menyekat keinginannya. Seperti permata yang merupakan unsur paling keras, ia lambang kekuatan, kemewahan, glamor, kecantikan, kuasa dan kejayaan. Menurut Giorgio Armani, beliau mahukan haruman yang menyerlahkan kilauan, kekuatan, kebijaksanaan dan keseksian dalam rangkaian wanita Emporio Armani. Dengan itu terhasillah Diamond, haruman menggabungkan mawar, laici, rasberi dan juga campuran kayu-kayan serta ambar.
Daisy oleh Marc Jacobs pula seakan matahari yang bersinar. Ia lambang semangat keremajaan yang bercahaya, gembira, bebas, segar dan ringkas menawan. Daisy bak pengembaraan ke tempat suci dan tanpa pengaruh sesiapa. Harumannya diadun daripada jambangan buang-bungaan yang menyerlah unsur kewanitaan di samping bahan semula jadi seperti strawberi liar, daun violet dan limau gedang. Turut dibaluti kesturi, vanila dan kayu putih bagi menghasilkan nota yang seimbang lagi memikat.
Manakala Princess oleh Vera Wang pula memikat namun aneh. Bermula dengan unsur magis dan mistik kepada berani dan mempesona. Ia menggambarkan keberanian untuk menggelar diri sebagai permaisuri, Princess adalah semangat baru dalam haruman. Meraikan kewanitaan moden, ia dihasilkan untuk memerintah. Kaya dengan vanila, melimpah dengan pati bunga eksotik dan buah-buahan menjadikan ia haruman yang cukup memikat.
Haruman manakah bakal dinobatkan Haruman Selebriti Terbaik dan Haruman Tahun 2008? Anda boleh menjadi penentunya. Jangan lupa menyertai roadshow dan pelbagai aktiviti yang akan diadakan di North Court, Mid Valley Kuala Lumpur pada 14 hingga 18 November ini. Antaranya sesi Sense of Smell, Feel the Bottle dan sesi soal jawab. Bengkel yang akan dijalankan bertajuk Haruman Terbaik Britney Spears dan Mitos & Fakta Mengenai Haruman.
Setiap pembelian haruman sepanjang pameran dan anugerah berlangsung, sebanyak RM1 akan didermakan kepada Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara.
Sumber : Utusan Malaysia Online
-
No comments:
Post a Comment